Dec 28, 2025 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan Melaka FC bagi saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, hari ini pada jam 8:15 malam.
Setakat ini, skuad Merah Kuning berada di kedudukan keempat liga dengan 22 mata terkumpul daripada 11 perlawanan; tujuh kemenangan, satu seri dan tiga kalah. Dengan hanya dua perbezaan mata, pasukan berpeluang untuk melonjak ke tempat kedua pada malam ini, menjadikan penutup yang baik bagi tahun 2025.
Christophe Gamel, Ketua Jurulatih Selangor FC, menganggap semua perlawanan adalah penting dan mahu pasukan dapatkan mata sebanyak mungkin.
“Persiapan pasukan berjalan dengan lancar dan setakat ini, kita berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran bagi musim ini. Bagi saya, semua perlawanan adalah penting, walaupun kita tahu tiada perlawanan yang mudah tetapi kita perlu mengumpul mata sebanyak mungkin. Kita hormati pasukan lawan dan saya yakin perlawanan malam ini juga akan menjadi satu perlawanan yang sukar seperti sebelum ini,” jelas Gamel.
Dari segi ketersediaan pemain, lima pemain masih tidak dapat diturunkan bagi perlawanan #SFCMEL, iaitu Sharul Nazeem (kecederaan ACL), Zach Clough (kecederaan otot pinggul), Samuel Somerville (patah jari kaki), Mohammad Abualnadi (kecederaan otot aduktor) dan Izwan Yuslan (kecederaan clavicle). Biarpun ketiadaan mereka, barisan pemain Gergasi Merah yang lain akan berusaha keras untuk memperjuangkan kemenangan pada malam ini.
Pihak pengurusan Selangor FC sentiasa berada di belakang pasukan dan yakin para pemain akan terus kekalkan momentum baik pasukan bagi penutup tahun 2025. Ayuh, Gergasi Merahku!
Demi Kebanggaan!